PERANTAUAN INI BANYAK MENGISAHKAN KISAH-KISAH SUKA DAN DUKA..PERANTAUAN INI ADALAH SATU PERJALANAN DEMI MENCARI SATU KEHIDUPAN YANG ABADI..
Thursday, 11 March 2010
(NASIHAH) Murabbi Cinta, Seorang Nabi
“Kepalaku!” kata Aisyah.
Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Aisyah radhiyallaahu ‘anha baru sahaja pulang daripada menziarahi perkuburan al-Baqi’ lewat malam tadi.
Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut.
Baginda menyedarinya.
“Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah. Oh kepalaku!” kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Jika suami pening, tangan isteri yang memicit banyak mendatangkan rasa lega.
Jika isteri yang sakit, belaian seorang suami adalah penyembuh paling berharga.
Tetapi di malam itu kedua-duanya sakit. Kepala mereka berat.
“Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati sebelumku, nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan dikau, kukafankan dirimu dan akan kudirikan solat buatmu serta engkau akan kukebumikan!!”, usik sang suami.
“Demi Allah, aku rasa kalau begitulah kisahnya pasti selepas itu engkau akan pulang ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang masih hidup!” si isteri tersentak dengan gurauan sang suami.
Merajuk.
Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketawa.
Dalam sakit yang luar biasa itu, baginda masih suami yang hangat dengan mawaddah. Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah. Sempat pula mengusik isteri yang tidak tentu rasa.
SAKIT YANG BERTAMBAH
Malam itu berlalu dengan sakit yang tidak beransur kurang.
Kesakitan itu memuncak semasa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam memenuhi giliran Baginda di rumah isterinya, Maimunah radhiyallaahu ‘anha. Bukan sakit yang sembarangan. Ia sakit yang menjadi kemabukan sebuah kematian. Sakaraat al-Maut!
“Esok aku di mana? Esok aku di mana?” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.
Dalam sakit yang bersangatan, Baginda masih ’sedar’ akan tanggungjawab dirinya berlaku adil kepada para isteri.
Itulah ukuran adil seorang mukmin terhadap isteri-isterinya. Mengusahakan segala tenaga yang berbaki untuk tidak memalit zalim dalam melunaskan amanah sebagai seorang suami. Tidak mengambil mudah hanya dengan alasan yang remeh temeh untuk melebihkan seorang isteri berbanding yang lain.
Itulah juga ukiran makna bagi sebuah Mawaddah. Cinta yang bertambah hasil kesungguhan mengatasi ujian dan musibah.
Namun di situlah terselitnya Rahmah. Sifat belas ihsan yang terbit daripada hati yang mengasihi.
“Izinkan aku berhenti bergilir dengan menetap di rumah Aisyah” Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta izin daripada para isterinya.
Siapakah yang pernah membantah permintaan seorang Rasul. Namun Baginda tetap meminta izin kerana keizinan itu hakikatnya kekal bagian seorang isteri. Tiada isteri yang dipinggirkan. Hak masing-masing dihormati. Andaikata seorang Rasul boleh meminta izin menahan giliran daripada isteri Baginda, bagaimana mungkin seorang suami menjadi angkuh mempertahankan haknya di hadapan isteri atau isteri-isterinya?
HARI-HARI TERAKHIR
Masruq meriwayatkan daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha:
Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam gering, kesemua isteri Baginda berada di sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka. Ketika mereka berhimpun, anakanda kesayangan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Fatimah radhiyallahu ‘anha datang berjalan. Demi sesungguhnya cara berjalan Fatimah tidak ubah seperti ayahandanya, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
“Selamat datang wahai anakandaku,” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan suara yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya.
Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah.
Anakanda itu menangis.
Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam membisikkan sesuatu lagi ke telinga anak kesayangannya.
Fatimah ketawa.
Apabila Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah radhiyallahu ‘anha bertanya, “apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam hingga menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?”
Fatimah menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam!”
Demi sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Aisyah radhiyallahu ‘anha mengulang kembali soalan yang sama kepada Fatimah, “Aku bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk menjawab atau tidak menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku, apakah rahsia yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dahulu?”
Kata Fatimah, “ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya!
“Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik kepadaku dengan berkata: sesungguhnya Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan al-Quran sekali dalam setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku dua kali. Tidaklah aku melihat kelainan itu melainkan ia adalah petanda ketibaan ajalku. Justeru… bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah kamu dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah ditempuh dalam kehidupan ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah!
Aku menangis…
Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik lagi kepadaku dengan berkata: apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu bahawa engkau adalah penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan sesungguhnya engkau adalah insan pertama yang akan menurutiku daripada kalangan ahli keluargaku!
Aku ketawa”
Sesungguhnya…
Fatimah radhiyallahu ‘anha benar-benar kembali kepada Allah, menuruti pemergian ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang pergi. Dan benarlah kalam utusan Allah… sallallaahu ‘alayhi wa sallam!
DETIK SEMAKIN HAMPIR
Dhuha itu tepu dengan kegelisahan.
Senyuman yang dilemparkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada Abu Bakr dan sahabat semasa mereka mengerjakan Solat Subuh tadi, benar-benar mengubat rindu mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa kerinduan mereka hanya terubat seketika, dan mereka akan kembali merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman itu bukan senyuman kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan.
Badan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin panas. Sesekali ada dengusan yang keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya kesakitan sebuah kematian.
“Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!” bibir Baginda masih tidak berhenti sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan pesan-pesan yang penting buat umat yang bakal dilambai perpisahan.
Aisyah radhiyallahu ‘anha meneruskan catatannya:
Aku melihat sendiri Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendepani kematian Baginda.
Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin gering mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!
Dan tahulah kami, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah menyempurnakan pilihannya itu.
Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi.
Ketika Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakr dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam merenung siwak itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan terjatuh… air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di Akhirat nanti.
Di sisinya ada sebekas air. Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini!
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangkat jari kirinya ke Langit lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi!”
Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana.
Leher Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam terkulai di dada Aisyah.
Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta. Melambai pergi ummah yang dirindui. Pencinta yang agung itu telah mati. Tetapi cintanya harum hingga ke detik ini.
Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un.
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [Al-Ahzaab 33: 56]
Kami rindukanmu.
Murabbi cinta!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Tuesday, 9 March 2010
(NASIHAH) SEDUTAN DARI HALAQAH USTAZ MUHAMMAD
BISMILLAHIRAHMANIRAHIM..
TERJUMPA SEDUTAN HALAQAH BERSAMA USTAZ MUHAMMAD AL-AMIN.BERSAMA BERTUAH KERNA BERNAH BERJUMPA DENGAN INSAN HEBAT INI.ORANGNYA SANGAT BAIK DAN RENDAH DIRI..
TERJUMPA SEDUTAN HALAQAH BERSAMA USTAZ MUHAMMAD AL-AMIN.BERSAMA BERTUAH KERNA BERNAH BERJUMPA DENGAN INSAN HEBAT INI.ORANGNYA SANGAT BAIK DAN RENDAH DIRI..
Friday, 5 March 2010
(KEHIDUPAN) TAHUN AKHIR
Tuesday, 2 March 2010
(KOREA) KENANGAN BERSAMA USTAZ AMIN
Hari ini 25 Februari 2010 jam 12.00 tengah hari, Seoul disimbahi dengan hujan. Sudahlah memang masih di dalam musim sejuk, ditambah dengan hujan lagi, bergandalah sejuk lagi hari ini.
Hari ini, tidak ada program yang menarik, hanya melihat kawasan perniagaan dan tempat yang biasa orang Malaysia datang untuk urusan borong kerongsang dan product kain-kain bermutu tinggi.
Keluar dari stesen Metro, tiba-tiba saya dipayungkan oleh seorang Korea yang tidak pernah saya kenal. Dia menunjukkan dengan tanda isyarat bahawa sekarang sedang hujan dan mengajak saya bersama-samanya berjalan dengannya di bawah satu payung.
“Baik betul budaya dia orang ni” bisik hati saya.
Jam 8.00 malam, saya diajak oleh Luqman dan Hafizul (pelajar Malaysia di Korea) untuk makam malam di sebuah restoran. Malam ini kami makan masakan belut. Korea terkenal dengan makanan belut.
setelah makan malam, saya di ajak oleh Luqman untuk berjalan di sekitar Universiti Hongik untuk melihat aktiviti mahasiswa pada waktu malam.
Di sekitar Hongik Universiti ini terdapat satu kawasan yang agak meriah. Di sini terdapat baju-baju dan kasut rekaan pelajar-pelajar di sini sendiri.
“Kawasan ini adalah tempat para pelajar di sini berkarya” kata Luqman pada kami semua.
“Baguslah, mereka ada tempat untuk mengembangkan kreativiti mereka” Helmee menambah.
Kami melihat, banyak kedai-kedai baju yang direka oleh Mahasiswa di Universiti ini hingga kepada yang berjenama. Ada syarikat besar yang memberi laluan kepada mahasiswa untuk mereka membentuk reka bentuk mereka sendiri.
Kita boleh lihat design seperti Adidas yang direka untuk tempatan yang tidak terdapat di negara-negara lain.
“Rokok kat sini sangat nipis” kata Hafizul (seorang lagi pelajar Malaysia di Korea)
“Kalau di Malaysia, kandungan TARnya 1.5 mg sedangkan di sini kandungan TAR hanya 0.2 mg sahaja” tambah Hafizul lagi.
Saya yang tidak biasa di dalam perkara rokok ini hanya mendengar mereka bercerita ketika melihat anak-anak muda Korea melepak sambil menghisap rokok.
Sejak dari mula datang lagi, saya agak pelik dengan tiang-tiang lampu di Korea ini. Ia diletakkan dililit dengan satu benda berduri kecil.
“Kenapa ye dia orang letak benda ni” tanya saya pada Hafizul.
“Ooo, untuk mengelakkan orang menampal poster di tiang-tiang ustaz” Hafizul memberikan jawapannya.
“Bagus ye, kalau di Malaysia, tiang-tiang serabut ditampal dengan poster-poster.
Kami melihat banyak tempat hiburan untuk mahasiswa di sini, tetapi hanyalah sebagai tempat melepak, tidak seperti di Itaewon yang banyak rumah-rumah maksiat.
“Orang di sini suka minum arak, dan arak Korea di sini dipanggil Soju” Luqman menambah.
“Saya ada berbual dengan doktor di sini dan mereka memberi tahu bahawa ramai orang Korea yang diserang cancer perut kerana terlalu banyak minum Soju” Hafuzul menambah pula.
Terperanjat kami apabila di sapa dengan sekumpulan gadis-gadis bertudung. Dari gayanya kelihatan seperti orang Malaysia.
Ketika hampir rupanya memang betul, sekumpulan Mahasiswi Jepun yang bercuti di Korea.
“Iskh, datang dari Jepun hanya perempuna-perempuan, tak bahaya ke?” tanya saya pada Luqman. Mereka semua mengenali Luqman.
“Di Jepun lagi teruk keadaan, jadi, bila dia orang datang ke Korea ni tak ada benda, Korea lebih selamat dari Jepun” kata Luqman setelah menyapa Mahasiswi dari Jepun yang dikenalinya itu.
“Tapi kalau berjalan di negara Arab jangan buat hal, kalau hanya perempuan-perempuan aje yang jalan, memang hilanglah jawabnya” saya menambah.
Setakat ini, negara Arab yang telah saya pergi, kebanyakkan orang perempuan kena berhati-hati kecuali Maghribi. Di sana, pelajar muslimah kita naik teksi pukul 2-3 pagi pun selamat.
Barangkali, kerana bersepadan dengan Eropah dan terlalu banyak orang Eropah di Maghribi, menyebabkan cara pergaulan masyarakat sana lebih baik.
Bak kata pepatah Melayu, lain padang lain belalang, begitulah setiap negara berbeza. Tetapi, dengan banyak bergaul dan memahami budaya orang lain menjadikan kita lebih menghormati orang lain dan lebih menghargai apa yang ada pada kita.
Sesungguhnya, alam ini sebuah Universiti yang luas, sesiapa yang sentiasa memerhatikan alam, dia akan dikurniakan keluasan ilmu dan pengalaman.
“Diari Merakam Sejarah Mencatat Kenangan”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Itaewon Seoul
26 Februari 2010 jam 12.40 tengah malam
(KOREA) BLOG USTAZ AMIN
Sebelum bertolak ke Korea ini, saya bertemu dengan Saudara Kamil, Presiden Pelajar Malaysia di Korea ini. Beliau akan bersama di dalam beberapa program yang diatur di Korea ini.
Pada hari ketiga saya di sini, Saudara Kamil tidak mempunyai kesempatan untuk bersama saya. Dia meminta sahabatnya Hafizul untuk bersama saya.
Setelah beberapa urusan, kami pergi ke tempat sukan Ski, ada beberapa babak yang ingin diambil oleh Helmee. Beliau datang ke sini bersama saya untuk membuat beberapa pengambaran.
Tempat yang kami tuju ialah jalan ke Ildong, iaitu Bearstown yang terletak di Naechon. Ia lebih kurang hampir sejam perjalanan dari Seoul. Kami sampai ke tempat ini pada jam 2.30 petang.
Hafizul membawa kami ke sebuah kedai menyewa peralatan yang biasa disewa oleh orang Malaysia. Sewanya Sewa pakaian tebal ini ialah 20 Won bersamaan dengan RM60.
Saya diberikan pakaian tebal, dengan kasut khas terasa macam memakai pakaian angkasawan pula. Sampai di kaki bukit di Naechon ini, kami solat zuhur dahulu.
Hafizul mengajar kami cara meluncur.
“Ada dua perkara ustaz yang perlu tahu, pertama jangan jatuh, kalau jatuh kena ada caranya, kedua, bagaimana nak bangun kalau jatuh” kata Hafizul.
Memang susah sukan ini, tapi susah bukan kerana benda ini, tetapi kerana tidak biasa.
Apabila papan luncur ini tegak, ia akan terus meluncur tanpa brek. Memang beberapa kali jatuh.
Jika ingin memberhentikan papan, kaki kita hendaklah membuat seolah-olah huruf A
Sukan ini akan senang dikuasai jika seseorang itu mempunyai asas sukan yang berasaskan kaki seperti pernah bermain skate board, roller skate, atau kuda-kuda dalam seni mempertahankan diri.
“Hati-hati ustaz waktu nak bangun, kaki tu jangan sampai terlipat macam tu, boleh patah tu” kata Hafizul ketika mengajar saya bangun setelah jatuh.
Hari ini saya betul-betul belajar beberapa perkara. Bukan luncur sukan ski ini, bukan seronok melihat orang jatuh atau sakit kaki dan punggung ketika jatuh. Tapi ada dua perkara besar yang boleh dipelajari.
1. Jangan jatuh, jika terjatuh ada caranya, kaki tidak boleh terkepak dan ia boleh menyebabkan cedera.
2. Mempelajari kaedah untuk bangun ketika telah jatuh, kena ada cara yang betul untuk bangkit setelah jatuh, kalau tidak, kaki boleh terkepak dan juga boleh cedera.
Ketika membawa papan luncur dengan berpeluh walaupun di dalam suasan sejuk, saya berfikir sendirian.
Sebenarnya, prinsip sukan salji ini boleh diaplikasikan di dalam kehidupan.
Di dalam rumah tangga, kita kena jaga jangan sampai rumah tangga itu hancur dan pecah. Tetapi jika itu keadaan dan ketentuannya, bagaimanan ingin membina kebahagiaan kembali setelah di hancur. Bagaimana untuk tidak terus kecewa dan terus menyalahkan orang lain. Bagaimana untuk membina kembali keyakinan diri.
Di dalam perniagaan, kita hendaklah belajar untuk tidak gagal di dalam perniagaan, tetapi jika gagal, bagaimana ingin bangun kembali setelah jatuh. Bagaimana untuk tidak merasa malu berpindah dari rumah banglow ke rumah teres kecil ketika rumah banglow terpaksa dijual untuk menyelesaikan hutang.
Dalam kerjaya, disuruh agar kita terus maju di dalam kerjaya, tetapi jika gagal, bagaimana ingin membina kembali jatidiri. Bagaimana untuk tidak merasa rendah diri dan sentiasa murung kerana gagal di dalam kerjaya.
Dalam belajar, kita disuruh untuk belajar bersungguh-sungguh kemudian lulus dengan cemerlang, tetapi jika tidak cemeralng, apa yang harus dibuat? Adakah lari dari kawan-kawan? Murung menangis di dalam bilik? Atau bangkit kembali membina semula?
Ramai orang mempelajari bagaimana ingin berjaya, tetapi tidak ramai yang mempelajari bagaimana ingin bangun setelah jatuh.
Kedua-dua perkara ini sama penting di dalam hidup kita.
Kehebatan seseorang bukan sahaja kehandalannya di dalam membina, tetapi kehebatan seseorang termasuk kehandalannya di dalam membina kembali setelah jatuh.
Carilah contoh tokoh hebat di dunia ini. Semua mereka mempunyai kedua-dua kemampuan ini iaitu kemampuan membina dan kemampuan bangun ketika jatuh.
Semoga, walau siapa pun kita, kita mempunyai kedua-dua kemampuan ini, agar apa keadaan sekalipun, kita akan sentiasa tenang, sentiasa tabah dan sentiasa sabar menghadapi ujian-ujian hidup.
Firman Allah:-
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita. (surah al-Ahqaf ayat 13)
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
Al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
10 Rabul Awal 1431/ 24 Febuari 2010
Jam 10.12 malam
www.ustazamin.com

Subscribe to:
Posts (Atom)