Wednesday 7 October 2009

(NASIHAH) BERKALAU-KALAU AMALAN SYAITAN




BISMILLAHIRAHMANIRAHIM...

Ceita yang dipetik dari saifulislam.com.Cerita ini sangat memberi pengajaran kepada pijun.Sebagai manusia kita selalu diuji dengan ujian dan nikmat.Kadang2 kita berjaya menempuhnya..ALHAMDULILLAH..namun ada ketikanya kita kecundang.

Ingatlah..ketika kita kecundang inilah sekali lagi kita diuji sama ada kita redha atau tidak.Hayatilah cerita ini.



“Argh… tiga puluh Hadith dengan matan dan sanad, campur syarahnya lagi… rasa nak meletup kepala!” saya mengomel sendirian di dalam bilik.

Nota-nota subjek Hadith II sudah selesai saya baca. Ditambah pula dengan subjek Fiqh Hubungan Antarabangsa yang juga peperiksaan kedua semester ini berlangsung pada hari yang sama. Sepanjang malam saya sesak dada dan sesak kepala mahu menghadam semua itu. Tidak cukup dengan peperiksaan, hari ini juga merupakan giliran saya membentangkan assignment subjek Hak-hak Asasi Manusia. Saya diberikan tajuk Hak Beragama Menurut Perspektif Islam.

Tiga subjek untuk dinilai dalam dewan peperiksaan hari ini. Dua daripadanya menyumbang kepada 25 markah setiap satu. Pembentangan pula menyumbang kepada 10 markah.

Saya segera meninggalkan bilik untuk menuju ke kampus. Pintu bilik dikunci. Di dalam bilik saya ada beberapa buah buku yang dibeli dengan syarat yang luar biasa. Dek kerana sensitifnya isi kandungan buku itu di Jordan, saya dikehendaki bersumpah dengan nama Allah untuk tidak mendedahkan daripada mana dan siapa saya membelinya. Memikirkan semua itu, pintu bilik sentiasa saya kunci jika saya tiada di rumah.

“Ehh… kenapa ni? Mustahil!” saya tergamam.

Selesai memakai kasut, pintu keluar rumah saya terkunci. Puas pemulas pintu dipusing-pusing, saya gagal membukanya.

Mungkin ahli rumah saya terlupa kepada pesanan saya malam tadi bahawa pintu atas jangan dikunci memandangkan kami baru seminggu berpindah ke rumah tersebut. Saya tidak mempunyai kunci atas dan kelas saya bermula lewat sejam daripada ahli rumah yang lain.

Aduh!

Jantung saya berdegup kencang.

Jam sudah menunjukkan pukul 9:30 pagi. Tinggal setengah jam lagi sebelum peperiksaan Hadith II bermula.

KUNCI OH KUNCI

Kata salah seorang daripada ahli rumah saya, pintu bilik saya juga boleh diguna untuk membuka pintu keluar rumah kami. Saya segera keluarkan kunci berkenaan dan cuba membukanya. Malang sekali, kunci itu yang hampir sama dengan kunci pintu depan, hanya boleh diguna untuk dibuka dari luar. Bukan dari dalam.

Saya terus memulas kunci itu.

Bukan lagi untuk membuka pintu, tetapi untuk menghilangkan rasa panik.

Tap!!!

Kunci itu patah.

“Allaaaahu Akbarrrrr!!!!” saya menjerit di dalam rumah.

Mahu ke kelas sudah tidak mungkin. Mahu masuk ke bilik, kunci sudah patah.

Saya terperangkap di ruang tamu rumah yang sejuk.

Di fikiran, sudah terbayang muka Dr. Ahmad Hasan al-Jawwad yang maha garang itu. Subjek Hadith II kami ambil dengan penuh tekanan psikologi disebabkan oleh garangnya beliau. Tambahan pula dengan muka Dr. Ahmad al-’Audhi yang juga serba menggerunkan. Saya sangat panik.

Dua subjek sedang terawang-awang di udara.

Pembentangan subjek Hak-hak Asasi Manusia juga dalam genggaman tangan saya yang kesejukan.

Untuk keluar ikut tingkap dan terjun dari tingkat dua rumah kedai… mustahil pula rasanya.

Dalam rasa panik yang amat sangat, tanpa sedar air mata saya mula keluar. Saya tahu apa implikasi kejadian pagi ini. Sesuatu yang tidak pernah diduga. Saya segera berbaring di atas tilam di ruang tamu, menyelimutkan badan dan terus mendiamkan diri, termenung dan termenung… menanti petang.

Saya berdoa juga mudah-mudahannya ada ahli rumah saya yang balik sekejap ke rumah di tengah hari. Sekurang-kurangnya pembentangan subjek Hak-hak Asasi Manusia itu dapat saya lakukan.

Malang sekali… saya terus keseorangan, kesepian dalam rasa takut dan resah yang amat sangat.

Selepas solat zohor di ruang tamu yang semakin sejuk itu, saya tertidur kerana keletihan dan kesejukan.

MENJELANG PETANG

“Assalamualaikum. Eh, tak pergi kelas?” ahli rumah saya baru pulang.

Soalan yang ditanyanya bagai lembing menikam jantung.

“Pinjam kunci!” saya bingkas bangun dan menggunakan kunci pintu depan itu untuk membuka bilik saya.

Masuk ke bilik saya terus menghempaskan diri ke katil. Kaset Muhammad Emin Ay saya pasang dan fikiran sengaja dibawa terbang ke alam Othmaniyyah saya dengan iringan Ilahiler klasik Turki itu.

Di sebelah malam, ramai rakan datang berkumpul di rumah saya kerana mereka meraikan peperiksaan yang baru selesai siang tadi. Saya yang masih buntu dengan nasib hari esok, terus cuba mengulangkaji pelajaran, khususnya Hadith II yang kebetulannya ada satu lagi peperiksaan esok pagi. Subjek itu ditawarkan dalam dua sesi, dan saya merancang untuk mengambilnya bersama kelas sesi II yang akan menduduki peperiksaannya esok.

Tetapi suara gelak ketawa di luar bingit sekali.

Dalam marah bercampur letih, saya mengamuk.

“Hoi!!!! Aku tahu la kome dah habis periksa. Diam le ooiii!” saya bertempik dari celah daun pintu yang kemudiannya dihempas sekuat hati.

Rumah jadi sepi.

Video ditutup.

Semua orang bangkit meninggalkan rumah dan pergi ke rumah jiran yang lain untuk melepak.

Saya terasa bersalah, tetapi fikiran saya amat berserabut.

SINAR PAGI… YANG MEMBAKAR

“Kenapa dengan anta?” tanya seorang rakan dari Indonesia.

Beliau hairan melihat saya terpacak di pintu pejabat Dr. Ahmad Hasan al-Jawwad.

“Ana terlepas exam semalam. Ni nak minta izin dari doktor untuk masuk peperiksaan hari ini” saya memberitahu.

“Ohh, perlu ke nak minta izin? Tak payah! Ayuh ikut saya ke bilik kuliah. Saya juga belum periksa semalam. Kita senasib!” katanya kepada saya.

Dalam fikiran dan perasaan yang masih keliru dan membingungkan, saya mengekori beliau dan terus masuk ke bilik kuliah, tempat peperiksaan bakal diadakan. Entah mengapa, saya terlupa kepada pantang larang terbesar itu. Masuk ke peperiksaan sesi lain, tanpa pemberitahuan dan persetujuan pensyarah.

Setelah mengambil tempat duduk, saya menunggu dengan gelisah. Dr. Ahmad Hasan sudah masuk. Wajahnya seperti biasa. Garang dan menyeramkan. Satu demi satu set kertas jawapan diedarkan.

Tiba-tiba kami dikejutkan dengan tempik beliau.

“Set kertas jawapan tidak cukup! Siapa pelajar lain yang masuk ke kelas ini???” Dr. Ahmad Hasan menengking kami di dalam kelas.

GEMPA BUMI!

Saya lihat beberapa orang pelajar tunduk mendiamkan diri. Mereka dari sesi yang sama dengan saya dan entah apa alasan mereka tidak hadir ke peperiksaan semalam. Saya yang semakin serba salah, hampir terputus nyawa apabila diugut oleh Dr. Ahmad Hasan al-Jawwad.

“Kalau kamu tidak mengaku, saya akan periksa satu persatu. Jika saya jumpa, nahas kamu!” gertak beliau.

Saya tidak mampu untuk berbohong lagi. Dengan kepala lutut yang menggeletar, saya berdiri dan mengangkat tangan.

“Ana doktor!” saya memberikan isyarat kepada Dr. Ahmad Hasan.

Belum sempat saya membuat penjelasan, kertas jawapan di meja saya dicarik-cariknya. Kertas yang koyak rabak itu dicampak ke muka saya.

“Barraaaahhhh! Berambus kamu!” katanya kepada saya.

Dengan perasaan malu dan takut yang memuncak, saya berjalan lesu meninggalkan bilik peperiksaan. Saya sudah tahu apakah nasib saya selepas ini.

Menjelang tengah hari, segalanya sudah jelas. Subjek Hadith II mesti saya gugurkan kerana kejadian semalam. Subjek Fiqh Hubungan Antarabangsa juga terpaksa saya gugurkan memandangkan subjek itu hanya ditawarkan satu sesi dan rayuan saya untuk peperiksaan khusus ditolak. Subjek Hak-hak Asasi Manusia, saya berasa lega kerana diberi peluang untuk membentangkannya pada sesi kelas yang berikutnya.

Dua subjek terpaksa digugurkan.

Dengan keguguran dua subjek tersebut, satu semester tambahan pada sesi pengajian tahun berikutnya terpaksa dibuat. Dalam tempoh yang saya sudah sepatutnya tidak lagi berada di Jordan itulah, saya dikenakan HUKUMAN GANTUNG SELAGI HIDUP.

Malang bertimpa-timpa.

Kalaulah saya ambil lebih subjek pada musim-musim panas yang lalu.

Kalaullah saya keluar awal bersama ahli rumah yang lain ke kelas dan mengulangkaji di kantin sebelum peperiksaan.

Banyak sungguh kalau yang keluar, tatkala saya dibelenggu dengan insiden penggantungan biasiswa ketika kebanyakan kawan sudah pun menamatkan pengajian meninggalkan saya yang tersangkut dengan 1001 KALAU.

Akhirnya saya pasrah. Dalam segala keperitan yang berlarutan ekoran kejadian pintu rumah terkunci itu, saya disedarkan dengan pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

hadithkalaukalau

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” [Riwayat Muslim]

Apakah hikmah di sebalik kejadian yang berlaku itu?

Saya mengambil masa hampir 10 tahun untuk memahaminya. Berfikiran positif, tidak pernah berakhir dengan kecewa. Alhamdulillah dan Alhamdulillah, atas segalanya.

ABU SAIF@ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

No comments:

Post a Comment